Wednesday, February 25, 2009

Buku Panduan Restoran Halal Kuala Lumpur

Oleh: AZLINARIAH ABDULLAH (WARTAWAN UTUSAN)

PELBAGAI sebab pengunjung datang ke negara ini. Ada yang mengakui terpanggil untuk melawat Malaysia kerana faktor cuaca, rakyatnya peramah selain jawapan biasa, pemandangan yang indah lagi cantik dimiliki negara ini.
Namun makanan juga menjadi penyebab yang menyumbang kepada kunjungan bilangan pelancong.

Sebab atau kaitan makanan dengan pelancongan ini tidak boleh dinafikan, kalau boleh barangkali jangan diabaikan sama sekali. Contohnya agak mudah, lihat sahaja Thailand. Pengunjung luar datang ke negara itu kerana hidangan popularnya iaitu Tomyam. Ia popular di mana-mana. Begitu juga India. Negara itu dicari kerana kari dan rempahnya yang asli.
Dan Malaysia diharap dapat menjual faktor makanan ini bagi menarik lebih ramai pelancong datang melawat negara. Kelebihannya ialah, Malaysia banyak menyediakan makanan halal – yang sudah semestinya dicari oleh pelancong Muslim dari seluruh dunia.
Tetapi, begitupun kuat faktor makanan halal itu dapat menarik pelancong asing, ia tidak akan membawa apa-apa makna jika tiada panduan buat mereka. Dengan perkataan lain, Malaysia tidak boleh ‘menjual’ makanan halal terbabit jika tiada penunjuk arah bagi membolehkan adanya ‘pembeli’.

Dalam hal ini, terima kasih kepada KasehDia Sdn. Bhd, sebuah syarikat komunikasi dan perundingan yang menerbitkan Siri Panduan Makanan Halal (Halal Food Guide) sejak tahun 2003 untuk menjadi ‘penunjuk arah’ makanan halal, sekali gus berupaya menjual makanan halal ini bukan sahaja buat pelancong tetapi melibatkan semua umat Islam di seluruh dunia.
Dalam Siri Panduan Makanan Halal, KasehDia Sdn. Bhd. telah menerbitkan bukan setakat Kuala Lumpur tetapi turut meliputi juga panduan makanan halal di Singapura, London, Dubai, Australia, Kanda dan New Zealand.
‘‘Edisi pertama Makanan Halal Kuala Lumpur mendapat sambutan menggalakkan, begitu juga panduan makanan halal di negara-negara lain.

‘‘Terfikir juga bahawa ia perlu diperluaskan, apatah lagi sesuai dengan TMM07, jadi sifatnya Makanan Halal Kuala Lumpur diterbitkan bersama lebih banyak tempat makanan yang menawarkan menu halal,’’ kata Pengarah Urusan KasehDia Sdn. Bhd, Jumaatun Azmi.
Dan itulah lahirnya Halal Food Kuala Lumpur atau Makanan Halal Kuala Lumpur bagi edisi kedua.
Sedikit mengenai edisi kedua Makanan Halal Kuala Lumpur ini, ia meliputi 112 buah kedai makan di sekitar Kuala Lumpur yang merangkumi kafe, warung, bistro, restoran dan juga tempat makan lain.

Buku panduan berukuran A5 dengan 128 halaman ini diterbitkan secara berwarna-warni berserta gambar untuk setiap ulasan yang dilengkapi maklumat penting seperti alamat, nombor telefon tempat makan, waktu operasi, menu serta harga yang ditawarkan.
Pelancaran buku berkenaan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada majlis sederhana di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Penerbitan buku panduan untuk makanan halal yang dianggap pertama seumpamanya di dunia itu, akan berada di pasaran pada Mac ini dan khalayak boleh mendapatkannya di semua kedai buku utama dengan harga RM19.90.

Dalam pada itu, Jumaatun semasa berucap pada majlis tersebut memberitahu, Makanan Halal Kuala Lumpur mengikuti konsep sama seperti edisi pertama yang dihasilkan pada 2003.
‘‘Seperkara perlu diingatkan ialah aspek makanan halal ini tidak hanya terhad pada makanan Melayu atau Timur Tengah sahaja, tetapi termasuk juga makanan antarabangsa yang terdapat di sekitar bandar raya pada masa ini.’’

Semua restoran, kafe, bistro dan tempat makan yang disenaraikan dalam Makanan Halal Kuala Lumpur mewakili konsep halal yang menjadi agenda penting negara dalam usahanya meningkatkan mutu serta kualiti bagi semua restoran demi mempromosikan makanan halal.
Sementara itu, sesuai dengan Tahun Melawat Malaysia (TMM07), daripada sejumlah 20,000 naskhah yang dicetak untuk cetakan pertama, sebanyak 10,000 naskhah akan diberikan kepada Kementerian Pelancongan bagi diagihkan kepada seluruh pejabat perwakilan serta rakan-rakan kongsi utama mereka di seluruh dunia.

Jadi terpulang kepada pihak yang bertanggungjawab dengan hal-hal pelancongan ini untuk ‘menjual’ Malaysia bersama makanan halal.
Jangan dilupakan bahawa bukankah makanan sering diumpamakan sebagai cara paling berkesan untuk mengenali rakyat, budaya, tradisi serta sesebuah negara itu dengan lebih dekat?

sumber : Utusan Malaysia 26/2/07

0 comments: