Tuesday, March 3, 2009

RENUNGAN DAN MUHASABAH DIRI

INTI pati Kalam Allah dan Sunnah Rasulullah dalam hal makanan dan pemakanan boleh dijadikan panduan dalam kehidupan Muslim untuk memilih makanan, sumber mendapatkan makanan, jenis makanan dan juga adab makan.

Makanan mempunyai pengaruh besar kepada rutin harian manusia sama ada dari segi jasmani mahupun rohani. Pada zaman serba moden, kita sering dilalaikan dengan memilih makanan bertujuan pertumbuhan jasmani saja, tetapi lupa mencari makanan seimbang untuk pembentukan lahiriah dan rohaniah.Bagaimana hubungan rohani dengan makanan dan juga kesihatan?

Menurut Hunayn Ibn Ishaq, roh atau jiwa boleh dibahagikan kepada tiga, iaitu semula jadi dari hati, berhubung keperluan hidup iaitu jantung dan otak manusia.Selaras dengan itu, ketiga-tiga unsur penting ini memerlukan kesejahteraan tubuh badan untuk memeliharanya. Justeru, badan memerlukan makanan yang baik untuk memeliharanya dengan cara mendapatkan zat terbaik untuk tubuh badan manusia.Di sini jelas menunjukkan kepentingan makanan dan minuman yang mempunyai hubung kait dengan kesihatan hati, jantung dan otak, organ penting di dalam jasad manusia dalam pembangunan jasmani dan rohani mengikut acuan berlandaskan lunas Islam.

Ahli sains dan perubatan tidak menafikan pentingnya peranan hati dalam fungsi badan. Bahkan, Islam juga memandang hati mempunyai peranan besar di mana ia mempengaruhi keseluruhan pembentukan peribadi dan akal seseorang.Rasulullah bersabda yang maksudnya: “Di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging yang apabila baik daging itu, maka baiklah seluruh tubuh badan (jasad), dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad, sesungguhnya ia adalah hati”.

(Hadis riwayat Bukhari) Jelas kepada kita dari sudut pandangan sains, makanan yang baik penting untuk menjaga kesihatan hati kerana ia mempunyai fungsi antara lainnya mempunyai dua kali ganda bekalan darah, mengkumuhkan bahan beracun dalam badan, membina dan memusnahkan sel darah merah, menukar glikogen kepada glukosa untuk diserap oleh badan serta banyak lagi fungsi khusus lain yang penting dalam sistem tubuh badan manusia.Dari sudut pandangan Islam, makanan yang baik lagi halal mampu membentuk keterampilan peribadi seseorang yang akhirnya akan menyumbang kepada pembentukan ummah terbilang.

Dalam tafsir Al-Azhar, Prof Hamka mengingatkan supaya manusia tetap mencari makanan dan mengatur makanan serta minumannya daripada sumber halal, bukannya daripada penipuan yang sering berlaku sama ada rasuah, curi atau dipaksa.

0 comments: